Isnin, 12 Februari 2018 | 10:08am

Penumpang kapal gaduh rebut tandas

SYDNEY: Kapal pesiaran terpaksa berpatah balik ke bandar raya ini selepas berlaku pergaduhan ketika penumpang beratur untuk menggunakan tandas.

Susulan insiden itu, seorang wanita warga Russia didakwa di mahkamah hari ini, kerana menyerang seorang lelaki dengan botol wain kosong.

Difahamkan pergaduhan bermula antara beberapa lelaki pada awal pagi semalam, ketika mereka sedang menunggu untuk menggunakan tandas di atas kapal P&O.

"Ketika lelaki itu bergaduh, seorang wanita berusia 37 tahun, iaitu teman wanita salah seorang lelaki terbabit, didakwa memukul kepala lelaki berusia 21 tahun itu dengan botol wain kosong, hingga menyebabkan mangsa luka.

"Namun, pihak keselamatan berjaya meleraikan pergaduhan itu dan semua lelaki itu berjaya ditahan," kata polis New South Wales.

Berikutan itu, kapal pesiaran yang dijadual berlayar selama tiga hari di perairan Australia menerusi pakej 'Comedy Cruise Gala' terpaksa berpatah balik ke Sydney.

Setibanya di Sydney, enam lelaki dan wanita itu diserahkan kepada pihak polis.

Bagaimanapun, semua lelaki itu dibebaskan selepas disoal siasat, manakala wanita itu didakwa kerana menyebabkan kecederaan.

Namun, beliau dibebaskan dengan jaminan dan bakal dihadapkan di mahkamah Sydney pada 9 Mac depan. - AFP

1595 dibaca
Berita Harian X