;
Isnin, 12 Februari 2018 | 6:53am
HOTEL Ritz-Carlton di Riyadh. - Foto AFP

Hotel Ritz-Carlton Riyadh beroperasi semula

RIYADH: Hotel Ritz-Carlton di sini, beroperasi semula semalam, tiga bulan selepas ia menjadi tempat tahanan putera raja dan menteri dalam pembersihan anti rasuah terbesar ke atas golongan elit Arab Saudi.

Hotel mewah itu menutup perniagaannya sejak siasatan tidak dijangka dilancarkan 4 November lalu oleh Putera Mahkota Mohammed Salman, yang memperkukuh cengkaman kuasa sejak pelantikan mengejutkan sebagai pewaris takhta Jun lalu.

Seorang penyambut tetamu hotel dihubungi AFP mengesahkan, hotel itu sudah dibuka kepada umum.

Satu lagi sumber dalaman berkata, premis itu tidak lagi menahan sesiapa.

Kebanyakan suspek berprofil tinggi, termasuk jutawan Putera Al-Waleed Talal, digelar Warren Buffet Arab Saudi, dibebaskan beberapa minggu lalu sebagai pertukaran apa yang digelar pihak berkuasa penyelesaian kewangan.

Peguam Negara Sheikh Saud al-Mojeb, berkata akhir Januari lalu, selepas menyelesaikan siasatan terhadap 381 suspek rasuah berprofil tinggi, beliau akan menahan 56 dan membebaskan yang lain.

Tidak jelas jika baki suspek itu dipindahkan ke tempat lain.

Al-Mojeb berkata, penyelesaian keseluruhan suspek menjangkau AS$107 bilion (RM423.38 bilion) dalam pelbagai bentuk aset, termasuk hartanah, sekuriti dan wang tunai.

Seorang lagi tahanan profil tinggi, bekas Ketua Pengawal Kebangsaan, Putera Miteb Abdullah dibebaskan susulan 'penyelesaian' dengan pihak berkuasa yang dilaporkan melebihi AS$1 bilion (RM3.96 bilion).

Mohammed, 32, mengetuai tindakan keras rasuah dalam kalangan anggota kerajaan dan keluarga diraja sejak tiga bulan lalu. - AFP

1154 dibaca
Berita Harian X