;
Isnin, 5 Februari 2018 | 5:45pm
LEE Jae-Yong.- Foto EPA

Terkini: Mahkamah Rayuan bebaskan pewaris Samsung

SEOUL: Mahkamah Rayuan Korea Selatan hari ini mengekalkan sabitan rasuah pewaris Samsung, Lee Jae-Yong, namun memendekkan hukuman penjaranya kepada hukuman tertangguh, mengarahkan dia dibebaskan.

Jae-Yong, Naib Presiden Samsung Electronics, pembuat telefon pintar dan cip memori terbesar dunia, disabitkan atas tuduhan rasuah dalam kaitan dengan skandal rasuah meluas yang menyingkirkan bekas Presiden Park Geun-Hye.

Pewaris berusia 49 tahun itu dijatuhi hukuman penjara lima tahun dalam perbicaraan asal diputuskan Ogos lalu, menjadikannya ketua Samsung pertama dipenjarakan, walaupun bapanya pernah disabitkan dua kali atas tuduhan jenayah manakala datuknya terbabit dalam skandal.

Jae-Yong disabitkan dalam pelbagai tuduhan termasuk rasuah, penyelewengan, penggubahan wang dan sumpah bohong di Parlimen.

Kes itu berpusat ke atas bayaran dibuat Samsung kepada orang kepercayaan Geun-Hye, Choi Soon-Sil, yang mana pendakwa raya berhujah, adalah bertujuan mendapatkan bantuan kerajaan.

Namun Mahkamah Rayuan hari ini menolak beberapa sabitan dan mengurangkan baki hukuman penjara dua setengah tahun kepada hukuman penjara tertangguh.

"Park Geun-Hye dan Choi Soon-Sil seharusnya dilihat sebagai pemain utama dalam skandal ini," kata keputusan itu, dibaca dalam mahkamah oleh seorang daripada hakim.

Empat eksekutif lain Samsung Electronics disabitkan bersama Jae-Yong turut mendapat pengurangan sabitan dengan dua daripadanya diberi hukuman penjara tertangguh. -AFP

652 dibaca
Berita Harian X