Khamis, 12 Oktober 2017 | 8:18pm
DUA mahkamah Bangladesh hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Khaleda Zia yang didakwa partinya bermotifkan politik menjelang pilihan raya yang dijangka tahun depan.- Foto fail AFP

Bangladesh keluarkan waran tangkap Khaleda Zia

DHAKA: Dua mahkamah Bangladesh hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap pemimpin pembangkang dan bekas Perdana Menteri, Khaleda Zia, tindakan yang didakwa partinya bermotifkan politik menjelang pilihan raya yang dijangka tahun depan.

Langkah itu dilakukan selepas kerajaan pimpinan Perdana Menteri Sheikh Hasina melancarkan gerakan terhadap pembangkang, menahan pemimpin dan penyokong Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) pimpinan Khaleda.

Salah satu waran berkaitan kegagalan Khaleda memberi reaksi kepada saman mahkamah dalam satu kes fitnah, kata Ketua Pendakwa Raya Dhaka, Abdullah Abu.

Waran kedua dikeluarkan mahkamah antirasuah khas selepas Khaleda gagal menghadiri sesi pendengaran dalam kes berkaitan dakwaan menggelapkan dana untuk anak yatim, kata Abdullah.

Awal minggu ini, satu lagi mahkamah mengarahkan penangkapan Khaleda atas dakwaan menghasut pengeboman bas pada 2015.

Ini bukan kali pertama mahkamah mengeluarkan arahan menangkap Khaleda, yang kini melawat London, tetapi polis tidak bertindak atas waran sebelum ini.

Penganalisis sains politik, Ataur Rahman, berkata beliau percaya kali ini ia berbeza.

"Ada beberapa alasan. Satunya adalah untuk menjejaskan parti itu kerana ia cuba meningkatkan bantahan dan membina momentum untuk pilihan raya akan datang.

"Keduanya, bagi menafikan kepemimpinan (Khaleda) Zia dan ketiga, kerajaan menghantar mesej ia mengawal keadaan," katanya.

Bangladesh dijangka mengadakan pilihan raya umum tahun depan, yang pertama sejak 2014 yang dipulaukan BNP berhubung kebimbangan ia dicemari penipuan. - AFP

657 dibaca
Berita Harian X