Khamis, 12 Oktober 2017 | 12:43pm
Jet pejuang siluman F-35 Australia.

Data jet siluman F-35 Australia dicuri penggodam

SYDNEY: Data sulit jet pejuang siluman F-35 Australia dan program pesawat pemantau P-8 dicuri, selepas sebuah syarikat subkontraktor pertahanan digodam menggunakan peralatan yang sering digunakan penjenayah siber China, kata pihak berkuasa hari ini.

Firma kejuruteraan angkasa dengan 50 kakitangan itu digodam pada Julai tahun lalu, namun agensi keselamatan siber nasional, Australian Signals Directorate (ASD) hanya menyedarinya pada November lalu, lapor laman sesawang teknologi ZDNet Australia.

Kira-kira 30GB data sensitif yang dianggap sulit di bawah peraturan Trafik Antarabangsa Kawalan Senjata kerajaan Amerika Syarikat dicuri, kata wakil ASD, Mitchell Clarke pada persidangan keselamatan semalam.

Clarke yang menyiasat kes itu dan tidak menamakan subkontraktor terbabit berkata, maklumat mengenai F-35 (jet pejuang terbaharu buatan Amerika Syarikat) dan P8 (pesawat pemantau dan pemburu kapal selam) berjaya diambil.

Dokumen lain termasuk gambar rajah pendawaian, salah sebuah kapal tentera laut baharu Australia yang membolehkan mereka meneliti sehingga ke kerusi kapten.

Penggodam itu menggunakan sejenis alat yang digelar sebagai "China Chopper" dan beberapa pakar keselamatan memaklumkan ia digunakan secara meluas oleh penjenayah siber China dengan mendapatkan akses menerusi pangkalan data yang berhubung dengan internet, katanya. - AFP

2777 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »