Selasa, 10 Oktober 2017 | 8:42pm
FOTO hiasan.

Pyongyang godam pelan peperangan Seoul

SEOUL: Penggodam komputer Korea Utara mencuri beratus dokumen sulit tentera daripada Korea Selatan, termasuk pelan operasi terperinci jika berlaku peperangan membabitkan sekutunya Amerika Syarikat (AS).

Akhbar harian Chosun Ilbo melaporkan, seorang pembuat dasar parti Demokratik pemerintah, Rhee Cheol-Hee, berkata penggodam memecah masuk ke dalam rangkaian tentera Korea Selatan, September lalu dan memperoleh akses kepada 235 gigabait data sensitif.

Akhbar itu memetik Cheol-Hee sebagai berkata, antara dokumen bocor adalah Pelan Operasi 5015, digunakan jika berlaku perang dengan Pyongyang serta prosedur serangan 'memusnahkan' ke atas pemimpin Kim Jong-Un.

Cheol-Hee, anggota jawatankuasa pertahanan parlimen tidak dapat dihubungi untuk mengulas, namun pejabatnya berkata, kenyataannya itu benar.

Memetik Kementerian Pertahanan Korea Selatan, Cheol-Hee berkata, 80 peratus dokumen bocor belum dikenal pasti.

Namun, katanya, pelan kontingensi untuk pasukan khas negara itu dicuri, selain butiran berkaitan latihan ketenteraan bersama tahunan dengan AS serta maklumat berhubung kemudahan utama ketenteraan dan loji nuklear.

Seorang jurucakap kementerian enggan mengesahkan laporan, namun mengatakan ia adalah urusan perisikan.

Menurut kerajaan Korea Selatan, Pyongyang memiliki 6,800 pakar terlatih perang siber. Mereka juga dituduh melancarkan serangan siber peringkat tinggi, termasuk menggodam Sony Pictures pada 2014. - AFP

1507 dibaca
Berita Harian X