Sabtu, 30 September 2017 | 1:29pm
PENDUDUK yang tinggal di luar zon berbahaya dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing. - Foto Reuters

Penduduk di zon selamat diarah pulang

KARANGASEM, Indonesia: Lebih separuh daripada 144,000 penduduk yang meninggalkan kediaman untuk berlindung di pusat pemindahan sementara berikutan amaran gunung berapi Agung bakal meletus diarah pulang.

Menurut pihak berkuasa, penduduk yang tinggal di luar zon berbahaya dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing.

Pihak berkuasa berkata, jumlah penduduk yang meninggalkan rumah terlalu tinggi dan hanya mereka yang tinggal sembilan kilometer dari gunung itu seharusnya berada di pusat pemindahan sementara atau di rumah rakan mahupun saudara-mara.

"Tiada sebab untuk penduduk yang tinggal di zon selamat untuk berpindah. Mereka perlu kembali ke kampung masing-masing kerana mereka bakal menjadi beban," kata Gabenor Bali I, Made Mangku Pastika.

Katanya, hanya 70,000 orang tinggal dalam jarak sembilan kilometer daripada gunung berapi yang mula aktif itu. Ini bermakna hampir separuh daripada penduduk boleh kembali ke rumah masing-masing.

"Hanya penduduk dari 27 kampung perlu berpindah. Selebihnya mereka boleh pulang. Mereka boleh pulang sendiri atau dengan bantuan kerajaan," kata jurucakap Agensi Benca Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho.

Katanya, Pusat pengendalian Vulkanologi dan Geologi Indonesia berkata, aktiviti Gunung Agung masih kekal tinggi tetapi stabil.

"Terdapat kurang daripada 200 gegaran antara waktu tengah malam dan 6 pagi hari ini. Ia sedikit di bawah tahap aktiviti seismik yang dipantau sejak Rabu dan Khamis lalu," katanya.

Gunung Agung yang terletak kira-kira 75 kilometer dari hab pelancongan Kuta, mula bergegar sejak Ogos lalu dan dikhuatiri meletus kali pertama sejak 1963.

Ia mencetuskan kemungkinan amaran tahap tertinggi dalam tempoh lapan hari lalu. - AFP

600 dibaca
Berita Harian X