Selasa, 12 September 2017 | 12:38pm
PELARIAN Rohingya duduk di tempat perlindungan mereka di kem di Ukhiya, Cox's Bazar, Bangladesh. - Foto EPA

Bangladesh pindah pelarian Rohingya ke pulau

DHAKA: Kerajaan Bangladesh bakal menempatkan ratusan ribu pelarian Rohingya di sebuah pulau yang dikatakan mengalami banjir hampir setiap tahun.

Bhasan Char salah sebuah pulau terbesar di negara itu yang terletak di muara Sungai Meghna, kira-kira satu jam perjalanan menggunakan bot dari Sandwip dan dua jam perjalanan dari Hatiya.

Pihak berkuasa kali pertama mencadangkan untuk menempatkan pelarian Rohingya di pulau itu pada 2015, iaitu ketika kem di Cox's Bazar sarat dengan pelarian baharu.

Bagaimanapun, rancangan itu terpaksa ditangguhkan tahun lalu susulan laporan bahawa pulau berkenaan dipenuhi lumpur dan ia tidak sesuai untuk penempatan disebabkan sering dilanda banjir.

Susulan itu, kerajaan cuba mencari tapak baharu untuk pelarian Rohingya, termasuk mendirikan kem baharu seluas 800 hektar di Cox's Bazar, berhampiran sempadan Myanmar yang mampu menempatkan 250,000 etnik itu.

Bagaimanapun, kepadatan pelarian di Cox's Bazar, memaksa kerajaan Bangladesh mempercepatkan projek pembinaan kemudahan seluas 4,046 hektar di Bhasan Char yang boleh menempatkan ratusan ribu Rohingya.

Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina dijangka melawat tapak pembinaan itu, hari ini. - AFP

2101 dibaca
Berita Harian X