Isnin, 11 September 2017 | 8:28pm

Konflik di Yaman perlu disiasat segera - PBB

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan 5,144 kematian penduduk awam dalam perang di Yaman, kebanyakannya disebabkan serangan udara tentera antarabangsa diketuai Arab Saudi.

Berikutan itu, ketua hak asasi manusia PBB, Zeid Ra'ad al Hussein, hari ini menggesa siasatan antarabangsa dilakukan segera.

"Usaha minimum yang dibuat ke arah mencari pihak bertanggungjawab sejak tahun lalu tidak mencukupi untuk bertindak balas kepada graviti berterusan dan pencabulan setiap hari membabitkan konflik ini.

"Kemusnahan Yaman dan penderitaan rakyatnya membawa kesan besar dan berterusan di rantau itu," katanya dalam ucapan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva.

Ini adalah kali ketiga beliau merayu siasatan antarabangsa mengenai pencabulan hak asasi manusia di Yaman, yang menyaksikan konflik dua tahun itu menemukan kerajaan yang disokong Arab Saudi dengan pemberontak Houthi yang disokong Iran.

Minggu lalu, pejabat Zeid berkata, 47 negara Majlis Hak Asasi Manusia tidak mengambil tanggungjawab mereka secara serius dan menggesa mereka menyiasat 'hasil tangan manusia itu'.

PBB berkata, perang saudara mencetuskan krisis kemanusiaan terbesar dunia, dengan konflik itu diburukkan berikutan keruntuhan ekonomi yang menyebabkan jutaan penduduk di ambang kebuluran.

Sistem kesihatan dan kebersihan buruk menyebabkan penyakit taun merebak pantas, dengan kira-kira 650,000 dijangkiti sejak April, lima kali ganda kes taun global pada 2016. - Reuters

158 dibaca
Berita Harian X