Isnin, 11 September 2017 | 6:33pm
ETNIK Rohingya tiba di kem sementara di Teknaf, Bangladesh. - Foto EPA

313,000 etnik Rohingya lari ke Bangladesh

COX BAZAR: Jumlah etnik Rohingya yang melarikan diri dari keganasan di Rakhine, Myanmar, mencecah 313,000 sejak 25 Ogos lalu, kata jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Dianggarkan 313,000 etnik Rohingya tiba di Bangladesh sejak 25 Ogos lalu," kata jurucakap agensi pelarian PBB, Joseph Tripura kepada AFP.

PBB dan kerajaan Bangladesh berkata, jumlah yang tiba semakin berkurangan sejak beberapa hari lalu walaupun situasi masih tidak menentu.

PBB berkata, kira-kira 294,000 Rohingya tiba, Ahad lalu, peningkatan hanya 4,000 orang berbanding hari sebelumnya.

"Ramai pendatang baru yang masih bergerak dan tinggal di tepi jalan serta tidak dikira kerana kurangnya mekanisme pengesanan yang komprehensif," kata laporan penyelarasan PBB.

Serangan militan Rohingya ke atas pasukan keselamatan Myanmar di Rakhine pada 25 Ogos lalu didakwa mencetuskan tindakan ketenteraan keras, memaksa penduduk melarikan diri ke sempadan menuju ke tenggara Bangladesh.

Sebelum keganasan memuncak, kem pelarian dan penempatan sementara di Bangladesh berhampiran sempadan Myanmar memuatkan kira-kira 400,000 Rohingya.

Perkembangan terbaharu itu menyebabkan kem berkenaan tidak lagi dapat menampung pertambahan pelarian. - AFP

239 dibaca
Berita Harian X