Isnin, 11 September 2017 | 3:04pm
SHINZO Abe. - Foto AFP

Jepun tingkat sistem pertahanan hadapi ancaman Pyongyang

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe menggesa supaya sistem pertahanan negara itu dipertingkatkan bagi membolehkan mereka mempertahankan diri daripada ancaman Korea Utara.

Dalam ucapannya kepada pegawai kanan angkatan tentera, Abe berkata, tiada orang lain yang dapat melindungi negara itu, jika mereka tidak mempunyai kemampuan untuk melindungi diri sendiri.

"Kita perlu mengambil semua langkah yang sesuai ketika berdepan dengan ujian peluru berpandu Korea Utara ke atas Jepun.

"Saya sudah meminta Menteri Pertahanan untuk membuat pelan tindakan strategi pertahanan jangka sederhana Jepun," katanya.

Abe yang segera mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebaik sahaja ahli perniagaan itu mengambil alih kuasa, dalam usahanya mengukuhkan kerjasama dua hala demi memastikan keamanan serantau.

"Kita perlu menghalang tindakan provokasi berulang Korea Utara," katanya yang merujuk kepada latihan bersama Amerika Syarikat di Laut Jepun dan kerjasama pertahanan dengan lain-lain negara seperti Australia. - AFP

486 dibaca
Berita Harian X