Jumaat, 14 Julai 2017 | 8:07pm

WHO beri amaran wabak taun ketika musim Haji

GENEVA: Wabak taun di Yaman, yang menjangkiti lebih 332,000 penduduk, boleh merebak ketika musim Haji di Arab Saudi September ini, walaupun pihak berkuasa negara itu sudah bersiap sedia sepenuhnya, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Rukun Islam kelima itu bakal menarik dua hingga empat juta umat Islam setiap tahun, termasuk 1.5 juta hingga dua juta warga asing, meningkatkan risiko penyakit seperti denggi, demam kuning, virus Zika dan virus meningococcal, selain taun.

Pakar taun WHO, Dominique Legros, berkata Arab Saudi sudah lama tidak berhadapan wabak taun berikutan pengawasan yang diperketatkan dan ujian pantas untuk mengesan kes lebih awal.

"Jangan lupa hari ini kita bercakap mengenai Yaman tetapi Arab Saudi menerima jemaah Haji dari negara yang banyak wabak, dan negara itu tidak berhadapan penularan, terutama selepas memastikan keadaan hidup, akses kepada air bersih dan kebersihan, diberi penekanan.

"Ia sudah bersedia sepenuhnya pada pandangan saya," kata Legros.

Tempoh inkubasi penyakit itu, yang menyebabkan cirit-birit teruk, cuma beberapa jam.

Sebaik gejala bermula, taun boleh membunuh dalam masa beberapa jam sekiranya pesakit tidak mendapatkan rawatan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyalahkan pihak bertelagah di Yaman dan sekutu antarabangsanya, termasuk Arab Saudi kerana menjadi punca penularan taun sejak 11 minggu lalu, memaksa jutaan penduduk kebuluran dan menghalang usaha bantuan. - REUTERS

100 dibaca
Berita Harian X