Rabu, 10 Oktober 2018 | 9:19pm
ANGGOTA tentera mengawal barangan bantuan di Lapangan Terbang Mutiara Sis Al Jufri, Palu. - Foto AFP

Indonesia jelas isu arah NGO bantuan asing tinggalkan Palu

JAKARTA: Kerajaan Indonesia menjelaskan bahawa, dasarnya terhadap bantuan asing, pekerja bantuan dan sukarelawan bukan bertujuan untuk menghalang mereka daripada memasuki kawasan yang terjejas akibat gempa bumi di Sulawesi.

Ia susulan laporan bahawa Indonesia mengarahkan petugas bantuan asing bebas agar meninggalkan zon gempa bumi.

Malah ada dalam kalangan kumpulan itu yang mengadu berdepan kesukaran untuk mendapatkan permit masuk untuk membawa kakitangan dan peralatan, pada masa sama wujud kekeliruan berhubung peraturan.

Kementerian Luar Negeri Indonesia, dalam satu kenyataan berkata petugas bantuan asing perlu lebih dulu menyelaraskan aktiviti mereka dengan pasukan tempatan, agensi tempatan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang mengetuai usaha mencari dan menyelamat.

“Semua bentuk bantuan termasuk sukarelawan asing hanya dibenarkan masuk selepas penyelarasan dan kelulusan diberikan, supaya tujuan, peranan dan fungsi mereka jelas,” kata jurucakap kementerian luar negeri, Arrmanatha Nasir.

“Kami tidak mahu berada dalam situasi di mana kami menerima bantuan yang sebenarnya sudah mencukupi bekalan atau kapasitinya di lokasi bencana sedangkan kami tidak menerima bantuan yang benar-benar diperlukan.”

Kementerian itu turut memberi amaran mengenai keadaan di mana terdapat ramai pekerja bantuan asing atau sukarelawan yang berniat baik, tetapi sebenarnya ‘menghalang usaha mencari dan menyelamat’.

“Pasukan mencari dan menyelamat kebangsaan menasihati pekerja bantuan atau sukarelawan yang sudah menyelesaikan tugas mereka dan tidak perlu lagi berada di Palu, untuk keluar bagi membolehkan pihak lain yang perlu berada di sini masuk,” kata kenyataan itu.

Kebanyakan daripada kematian akibat bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Sulawesi Tengah pada 28 September lalu berada di Palu.

Setakat ini, masih tiada maklumat jelas mengenai jumlah sebenar mangsa yang hilang, terutama di kawasan selatan Palu yang mengalami pencairan tanah.

Agensi Bencana Kebangsaan menganggarkan angka itu mungkin mencecah 5,000 orang dengan sekurang-kurangnya 70,000 orang dipindahkan setakat ini. - Agensi

2336 dibaca
Berita Harian X