Selasa, 9 Oktober 2018 | 9:20pm

Pengungsi tumpang mandi di lapangan terbang

PALU: Lebih 1,000 pelarian menumpang mandi di tandas lapangan terbang selain mendapatkan bekalan minuman air bersih dari masjid berhampiran.

Itu kepayahan hidup dilalui mangsa bencana yang mencari perlindungan dan berkampung di sekitar Lapangan Terbang Bandar Udara Mutiara Sis Al Jufri di sini.

Mangsa malang itu mendirikan beratus khemah di kawasan lapang dan taman berhampiran lapangan terbang sejak bencana gempa bumi dan tsunami berlaku 29 September lalu.

Belum ada tanda-tanda kumpulan dipanggil `pengungsi’ ( pelarian bencana) ini akan mengosongkan kawasan lapangan terbang itu yang kini menjadi pintu masuk pihak sukarelawan dan tentera keluar masuk dari dalam dan luar negara.

Malah, bilangan warga Palu yang berpusu-pusu mahu berpindah keluar dari kota ini menuju ke Makassar atau Balikpapan dengan menaiki pesawat Hercules milik Tentera Nasional Indonesia (TNI) masih berterusan saban hari.

Salah seorang penghuni khemah kanvas yang ditemui wartawan, Fatir Jonny, 41, berkata, dia memilih untuk mencari perlindungan di lapangan terbang itu berikutan mudah mendapatkan bantuan makanan dan air bersih.

Dia mendakwa memilih untuk berpindah beramai-ramai ke kawasan berhampiran lapangan terbang selepas rumahnya di perkampungan Balaroa, Perumahan Perumnas di sini, musnah sepenuhnya.

“Apa pilihan yang saya ada? Anak-anak perlukan perlindungan, makanan dan air bersih. Kami dapat tahu banyak bekalan makanan masuk ke Palu melalui lapangan terbang ini.

“Setiap hari kami diberikan sumbangan makanan sama ada mi segera, beras, biskut dan pelbagai makanan tin yang diagihkan pihak tentera atau sukarelawan,” katanya.

Menurutnya, dua anaknya Fatil, 13, dan Lisa, 18, selain isteri, Yuniaan Herdi, 40, terpaksa membiasakan diri dengan keadaan baru tinggal di dalam khemah tanpa kemudahan lampu selain perlu bersesak dengan mangsa bencana lain.

“Tidak tahu ( tinggal di khemah ) sampai bila. Kami perlukan rumah baru namun keadaan belum mengizinkan. Pemerintah masih sibuk dengan tugas mencari mangsa yang tertimbus selain membaik pulih kemudahan asas yang rosak di kota ini,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Abdullah Sirajak, 50, berkata, keadaan di khemah tidak selesa berikutan cuaca panas pada waktu siang selain tandas berhampiran yang kotor.

“Saya mahu pulang...tapi rumah sudah tiada lagi. Mahu mencuci pakaian juga sukar,” katanya.

Sementara itu, tinjauan wartawan mendapati operasi pesawat komersial di lapangan terbang itu mulai pulih seperti sedia kala.

Orang ramai dilihat mendapatkan perkhidmatan penerbangan sama ada ke Makassar atau Jakarta, Indonesia dari lapangan terbang itu yang sebelum ini ditutup operasi sejak 29 September lalu hingga 3 Oktober lalu.

Usaha baik pulih lapangan terbang itu sedang giat dilakukan berikutan gempa bumi yang berlaku turut menyebabkan dinding batu dan bumbung lapangan terbang itu roboh.

Kerosakan ketara dapat dilihat di bahagian balai ketibaan selain deretan premis jualan terletak di luar lapangan terbang itu.

Wartawan turut mendapati pesawat Hercules milik TNI masih giat menjalankan operasi memindahkan mangsa dan pesakit dari kota ini selain membawa masuk bekalan makanan diperlukan.

422 dibaca
KEADAAN khemah mangsa bencana yang dibina di hadapan Bandar Udara Mutiara Sis Al Jufri. - Foto NSTP
FATIR terpaksa tinggal di khemah bersama anak dan isteri di hadapan lapangan terbang Bandar Udara Mutiara Sis Al Jufri berikutan gempa bumi yang memusnahkan rumahnya. - Foto NSTP
Berita Harian X