Selasa, 9 Oktober 2018 | 8:55pm
SEORANG pegawai kanan polis di Thailand menipu 196 orang bawahannya dengan menawarkan skim cepat kaya. - Ihsan Bangkok Post

Anggota polis ditipu pegawai tawar skim cepat kaya

BANGKOK: Kita biasa dengar orang awam ditipu penjenayah tetapi di Thailand, seorang pegawai kanan polis menipu 196 orang bawahannya dengan menawarkan skim cepat kaya.

Akibatnya, mangsa kerugian sebanyak 240 juta baht (RM30.24 juta), lapor portal berita Thailand, semalam.

Bekas ketua polis wilayah dan pengerusi koperasi polis itu memujuk 'anak buahnya' untuk meminjam daripada koperasi bagi membayar balik hutang mereka.

Dia kemudian menawarkan untuk mengurus wang pinjaman mereka dan menjanjikan pulangan pelaburan 5,000 baht (RM630) setiap bulan.

Bagaimanapun, selepas mendapat wang daripada peminjam, dia gagal membayar pulangan bulanan itu termasuk hutang asal mereka.

Malah, salah seorang peminjam diserang sakit jantung dan meninggal dunia 31 Ogos lalu selepas melihat hutangnya meningkat dan pelaburannya tidak menjadi.

Pegawai polis terbabit telah digantung tugas Ogos lalu sehingga selesai siasatan jenayah disiplin dan jenayah.

Dia menjadi antara orang penting dalam satu sindiket untuk melakukan penipuan itu.

Setakat ini, penyiasat telah menemubual 435 orang berhubung perkara itu dan seramai 42 suspek dikenal pasti dengan 31 daripada mereka telah didakwa.

Lima lagi suspek telah menghubungi pihak polis dan menyatakan niat menyerah diri.

Selain itu, daripada keseluruhan wang yang telah diambil, sebanyak 10.5 juta baht (RM1.3 juta) telah dipulangkan, kata polis.

Pihak berkuasa juga merampas beberapa hartanah dan aset lain berhubung siasatan ke atas penipuan itu. - Agensi

512 dibaca
Berita Harian X