Selasa, 17 April 2018 | 7:29pm
FOTO hiasan, gajah liar.

Pekerja ladang didakwa bunuh gajah liar

BANGKOK: Seorang pekerja ladang nanas diburu polis kerana disyaki mendirikan pagar elektrik sehingga membunuh dua ekor gajah liar bulan lalu.

Jurucakap pihak berkuasa berkata, polis mula melancarkan gerakan memburu suspek selepas gajah kedua ditemui mati minggu lalu di luar ladang nanas di wilayah Chonburi yang bersempadan dengan taman negara.

Haiwan seberat empat tan itu ditemui terbaring kira-kira 100 meter dari lokasi seekor gajah betina yang mati bulan lalu.

Susulan kejadian, seorang pekerja ladang dikenali sebagai Samin Jansamut dituduh menyebabkan kematian haiwan berkenaan tetapi dibebaskan dengan ikat jamin.

Pegawai taman negara, Phadet Laitthong, berkata suspek menggunakan wayar hidup untuk membuat pagar yang disambungkan kepada punca elektrik pada waktu malam.

"Ada kesan terbakar ditemui di bahagian belalai pada gajah kedua dan berkemungkinan besar haiwan itu mati kerana renjatan elektrik," katanya.

Samin kini kembali menjadi buruan polis selepas kematian gajah jantan itu.

Thailand adalah habitat kepada kira-kira 3,000 ekor gajah liar, namun penebangan hutan yang agresif sejak beberapa tahun lalu membuatkan haiwan berkenaan berada semakin hampir dengan manusia, sekali gus membawa kepada berlakunya insiden tidak diingini, termasuk kematian dalam kalangan penduduk setempat. - AFP

301 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »