Isnin, 12 Februari 2018 | 6:58pm

Menteri Myanmar ugut Rohingya

DHAKA: Seorang menteri kerajaan Myanmar mengugut pelarian Rohingya di kem sementara sempadan Bangladesh supaya menerima tawaran pihaknya untuk kembali, memberi amaran mereka akan berdepan 'akibat buruk' jika enggan.

Satu video diedar di media sosial menunjukkan Timbalan Menteri Hal Ehwal Myanmar, Aung Soe berucap di hadapan kumpulan pelarian yang dipisahkan pagar kawat duri Jumaat lalu.

Mesej Aung Soe ditujukan kepada kira-kira 6,000 pelarian yang tinggal di Tombru, kawasan terbiar antara Myanmar dan Bangladesh.

Beliau memberitahu pelarian, mereka perlu kembali atau 'menerima nasib buruk' kerana kawasan itu di bawah pentadbiran Myanmar.

"Jika Rohingya enggan menerima cadangan kerajaan Myanmar menerusi delegasi ini, ia bukan satu petanda baik buat pelarian yang tinggal di kawasan terbiar," kata Aung Soe menerusi penterjemah.

Hampir 700,000 pelarian Rohingya mendapatkan perlindungan di Bangladesh sejak satu tindakan keras tentera ke atas minoriti Islam di Myanmar tahun lalu memaksa mereka meninggalkan tanah air.

Walaupun kempen itu, yang dikatakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bersamaan pembersihan etnik, kerajaan Myanmar dan Bangladesh akhir tahun lalu bersetuju menghantar pulang semua pelarian yang baharu tiba.

Namun ramai berkata, mereka enggan pulang sehingga Myanmar bersetuju memberi kerakyatan dan jaminan keselamatan.

Pasukan keselamatan Bangladesh di kawasan itu mengesahkan kunjungan menteri terbabit kepada AFP.

"Beliau berkali-kali memberitahu pelarian supaya berpindah dari tanah Myanmar atau berdepan masalah," kata pegawai polis Mohammad Rashid menerusi telefon.

Komander Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) Manzurul Hasan Khan berkata, pihak berkuasa Myanmar menggunakan pembesar suara sejak Jumaat lalu untuk meminta pelarian meninggalkan kawasan itu.

Etnik Rohingya yang tinggal di sana memaklumkan AFP, tentera baru-baru ini mendirikan khemah berhampiran pagar kawat duri.

"Mereka (tentera Myanmar) sering melepaskan tembakan rambang untuk mencetuskan panik. Kami mendengar mereka juga membakar perkampungan berhampiran baru-baru ini," kata Dil Mohammed, seorang daripada pelarian. -AFP

2691 dibaca
Berita Harian X