Ahad, 11 Februari 2018 | 11:00pm
SETIAUSAHA Negara British untuk Hal Ehwal Asing dan Komanwel Boris Johnson (tengah) tiba di Lapangan Terbang Sittwe, Sittwe, Rakhine State, barat Myanmar. - Foto EPA

Johnson gesa siasatan bebas krisis Rohingya

NAYPYIDAW: Setiausaha Luar Britain Boris Johnson mengunjungi Myanmar hari ini bagi memberi tekanan kepada pemimpinnya, Aung San Suu Kyi berhubung keperluan siasatan bebas terhadap keganasan di Rakhine.

Johnson bertemu Suu Kyi, yang mana reputasinya di kalangan masyarakat antarabangsa terjejas berhubung cara beliau menangani krisis Rohingya, di ibu kota ini dalam kunjungan empat hari ke Asia.

Sebelum itu, beliau melawat kem pelarian di Cox' Bazar, Bangladesh di mana hampir 700,000 Muslim Rohingya mendapatkan perlindungan selepas lari daripada tindakan keras tentera Myanmar Ogos lalu.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menuduh pasukan keselamatan Myanmar melakukan kempen pembersihan etnik ke atas Rohingya.

Kumpulan bantuan, Doctors Without Borders (MSF) menganggarkan sekurang-kurangnya 6,700 Rohingya maut dalam bulan pertama keganasan.

Kementerian Luar Myanmar dalam tulisan Facebook berkata, kedua-duanya berbincang secara mesra dan terbuka berkaitan perkembangan terbaharu di Rakhine termasuk rancangan menghantar pulang pelarian.

Johnson, yang kemudian terbang ke Rakhine, menulis di Twitter, beliau membangkitkan isu 'pentingnya pihak berkuasa Myanmar menjalankan siasatan penuh dan bebas terhadap keganasan di Rakhine.'

Beliau juga menegaskan 'keperluan segera mewujudkan situasi sesuai bagi pelarian Rohingya pulang ke Rakhine.' -AFP

384 dibaca
Berita Harian X