Sabtu, 10 Februari 2018 | 8:17pm
POLIS Indonesia menunjukkan rampasan lebih satu tan dadah jenis syabu di pulau Batam - Foto AFP

Tentera Indonesia rampas lebih satu tan syabu

BATAM: Tentera laut Indonesia merampas lebih satu tan dadah jenis syabu dan menahan empat orang dalam operasi dadah besar-besaran minggu ini, kata seorang pegawai kanan tentera laut hari ini.

Sebuah bot tentera laut yang meronda sekitar selat Phillip di antara Singapura dan Batam memintas kapal MV Sunrise Glory yang mengibarkan bendera Singapura ketika ia memasuki perairan Indonesia.

Pada awalnya, pihak berkuasa mengesyaki ia mungkin bot nelayan Taiwan yang disasarkan tentera Indonesia sejak Disember lalu kerana terbabit dalam sindiket dadah, kata timbalan ketua tentera laut, Naib Laksamana Achmad Taufiqoerrochman dalam satu sidang media.

Bot itu mengibarkan bendera Singapura, namun menukarnya kepada bendera Indonesia ketika peronda tentera laut menghampiri.

Pegawai bertugas kemudian membawa bot itu ke Batam dan menyerbu simpanannya, mereka menemui dadah tersorok dalam 41 guni beras seberat 1,029 kilogram. - AFP

1676 dibaca
Berita Harian X