Sabtu, 10 Februari 2018 | 2:21pm
GUNUNG Agung.- Foto fail AFP

Gunung Agung mula reda, penduduk dibenar pulang

JAKARTA: Ribuan penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka di pulau Bali disebabkan amaran gunung berapi meletus sebelum ini, dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, kata pihak berkuasa hari ini selepas tahap amaran gunung berapi Agung diturunkan.

Gunung berapi berkenaan yang terletak 75 kilometer dari pusat pelancongan di Kuta, dilaporkan memuntahkan debu dan asap tebal secara berkala selama berbulan, sekali gus memaksa lebih 10,000 penduduk tinggal berhampiran kawasan itu dipindahkan manakala lapangan terbang antarabangsa ditutup.

Pusat Vulkanologi Indonesia hari ini, menurunkan tahap amaran gunung Agung daripada peringkat empat menjadi tiga yang mengesahkan tiada ancaman ia akan meletus.

"Gempa vulkanik ketara merosot. Perubahan bentuk bukan sekadar berkurangan tetapi menjadi semakin stabil malah kepekatan gas yang dimuntahkan gunung itu juga dilihat reda," kata pakar gunung berapi kanan, Gede Suantikan pada AFP.

Menerusi tahap amaran baharu ini, zon dilarang masuk turut dikurangkan kepada empat kilometer dari puncak gunung manakala di kawasan yang sebelumnya dikosongkan mula membenarkan penduduk pulang ke rumah masing-masing, kata pihak berkuasa.

"Rutin awam seperti pelancongan di Bali diisytiharkan selamat dan tiada lagi gangguan daripada aktiviti Gunung Agung," kata menteri tenaga Indonesia, Ignasius Jonan dalam satu kenyataan.

Gunung Agung dilaporkan kembali bergegar pada September tahun lalu namun aktivitinya dilihat perlahan pada penghujung Oktober sebelum ancaman meletus memuncak kembali pada November,

Ia bukan saja menjejaskan industri pelancongan di Bali tetapi memberi kesan buruk terhadap ekonomi tempatan.

Baru-baru lalu, hampir 20,000 penduduk ditempatkan di pusat perlindungan di 180 lokasi seluruh pulau berkenaan. - AFP

302 dibaca
Berita Harian X