;
Sabtu, 10 Februari 2018 | 12:54pm
JURUCAKAP Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Heather Nauert.- Foto Reuters

Washington desak siasatan bebas di Rakhine

WASHINGTON: Amerika Syarikat menuntut siasatan lebih telus dijalankan terhadap insiden pembunuhan etnik Rohingya, seperti yang dilaporkan wartawan Reuters sebelum ini.

Pihak berkuasa negara itu juga menuntut dua orang wartawan yang ditahan ketika melakukan siasatan itu dibebaskan.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Heather Nauert berkata, laporan berhubung penemuan kubur besar sebelum ini, menunjukkan keperluan mendesak pihak berkuasa Myanmar untuk memberi kerjasama.

"Siasatan bebas, telus dan boleh dipercayai perlu dilakukan berhubung tuduhan kekejaman yang berlaku di utara Rakhine.

"Siasatan ini akan membantu memberi gambaran yang lebih lengkap berhubung apa yang berlaku, mendedahkan identiti mangsa, mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab melakukan pelanggaran hak asasi manusia dan seterusnya menegakkan keadilan," kata Nauert.

Laporan khas yang disiarkan sebelum ini, menjelaskan apa yang berlaku terhadap 10 lelaki Rohingya yang dibunuh dari kampung Inn Din dan dikebumikan di kawasan perkuburan besar.

Malah, Reuters turut mendedahkan temuramah dengan penganut Buddha yang mengaku membakar rumah etnik Rohingya, mengebumikan mayat dan membunuh mereka.

Keganasan gila yang kononnya tercetus angkara serangan pemberontak Rohingya yang menyerang pos keselamatan pada Ogos tahun lalu.

Ketika ditanya berhubung bukti yang didedahkan Reuters berhubung pembunuhan beramai-ramai itu, jurucakap kerajaan Myanmar, Zaw Htay berkata, mereka tidak menafikan tuduhan berlakunya pelanggaran hak asasi manusia dan tidak berselindung.

"Sekiranya terdapat bukti utama yang kukuh dan boleh dipercayai yang menyalahi undang-undang, kerajaan akan menyiasat, katanya.

Setakat ini kerajaan Myanmar tidak memberikan sebarang reaksi berhubung laporan itu. - Reuters

358 dibaca
Berita Harian X