Jumaat, 1 Disember 2017 | 12:40am
Penduduk desa bekerja seperti biasa di ladang berlatar belakangkan Gunung Agung yang mengeluarkan asap dan bakal meletus di Karangasem, Bali. - Foto AFP

Puluhan ribu enggan berpindah

KARANGASEM: Puluhan ribu penduduk di pulau peranginan Bali enggan mengosongkan zon berbahaya sejauh 10 kilometer di sekitar Gunung Agung yang bakal meletus.

Sebaliknya, mereka meletakkan nasib di tangan Tuhan kerana ingin melindungi rumah dan ternakan masing-masing.

Gunung Agung yang mempunyai ketinggian 3,000 meter dianggap suci oleh kebanyakan penduduk Hindu di pulau itu.

Ia mula memuntahkan abu sejak hujung minggu lalu dengan gegaran berterusan dan lumpur gunung berapi.

Pasukan mencari dan menyelamat berulang-alik setiap hari ke dalam zon berbahaya memaklumkan ada penduduk enggan meninggalkan lembu mereka tanpa pengawasan, sementara yang lain mempunyai sebab keagamaan.

"Kerajaan sudah mengeluarkan arahan jelas mengenai pemindahan, namun ada penduduk lambat bertindak atau mahu terus berada di rumah mereka," kata Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Bali, Gede Ardana.

"Kita tidak boleh memaksa mereka, namun kami akan bertanggungjawab. Jadi kami perlu meyakinkan mereka." - Reuters

1060 dibaca
Berita Harian X