Jumaat, 13 Oktober 2017 | 2:43pm
FILEM blockbuster Hollywood Kingsman: The Golden Circle.

Kemboja haram filem Hollywood 'Kingsman'

PHNOM PENH: Filem blockbuster Hollywood Kingsman: The Golden Circle diharamkan di Kemboja berikutan satu babak yang menggambarkan sebuah kuil tersohor di negara itu sebagai sarang penjenayah, kata seorang pegawai hari ini.

Filem sekuel aksi komedi ini mengisahkan sebuah organisasi perisikan British yang bekerjasama dengan Amerika untuk mengesan seorang penyeludup dadah terkenal yang bersembunyi di sebuah kuil di Kemboja.

Pengarah Kementerian Kebudayaan, Jabatan Perfileman, Bok Borak memberitahu AFP, filem yang 'tidak boleh diterima' itu diharamkan tayangannya kerana menggunakan nama Kemboja sebagai tempat persembunyian penjenayah.

"Dan apa yang lebih membimbangkan adalah ia menggunakan salah sebuah kuil kami sebagai lokasi menghasilkan dadah dan membunuh manusia dengan kejam. Jadi kami mengharamkan tayangan filem ini di negara kami," katanya.

Ini bukan kali pertama Kemboja mengharamkan hiburan yang dianggap membahayakan nilai tradisi negara itu.

Sepanjang tempoh dua bulan lalu, kerajaan Kemboja mengharamkan dua filem Hollywood termasuk filem seram 'Jigsaw' kerana memaparkan keganasan berlebihan yang dianggap tidak sesuai untuk penonton tempatan. - AFP

3425 dibaca
Berita Harian X