Ahad, 10 September 2017 | 1:24am
PRESIDEN Rodrigo Duterte

Duterte tak mahu layan cerita tukar tebusan

MANILA: Presiden Rodrigo Duterte, semalam menafikan kemungkinan membenarkan militan berkaitan Daesh meninggalkan bandar raya di selatan Filipina sebagai pertukaran kepada pembebasan puluhan tebusan.

Militan merampas sebahagian besar Marawi City di Mindanao Mei lalu, dan ramai anggotanya melancarkan serangan udara lebih 100 hari dan tentera melakukan serangan darat.

"Jangan harap," kata Duterte apabila ditanya mengenai khabar angin seorang pemimpin pemisah, Omarkhayam Maute, mencadangkan pembebasan tebusan sebagai pertukaran kepada laluan keluar selamat kepada militan.

Sebahagian militan kekal berada di pusat bandar raya itu yang musnah akibat artileri dan pengeboman, dalam pencerobohan yang menimbulkan kebimbangan di rantau berkenaan mengenai kemungkinan Daesh, yang menguasai wilayah di Iraq dan Syria, membina kubu baru di selatan Filipina.

Tentera melancarkan serangan akhir untuk menawan semula Marawi dan berhadapan tentangan sengit militan ketika tentera cuba mengambil alih bangunan dan bergerak menerusi periuk api dan jerangkap samar.

Tentera menganggarkan kira-kira 20 hingga 30 tebusan ditahan, sebahagiannya dipaksa menentang tentera kerajaan.

"Jika saya boleh menyelamatkan satu nyawa di situ, saya sedia menunggu setahun lagi untuk menawan semula bandar raya berkenaan," kata Duterte mengenai tebusan, selepas melawat tentera yang cedera di Cagayan de Oro, beberapa jam dari Marawi. - Reuters

1279 dibaca
Berita Harian X