Rabu, 6 September 2017 | 4:52pm
PELARIAN Rohingya berjalan di jalan berlumpur selepas menyeberangi sempadan Bangladesh-Myanmar, di Teknaf, Bangladesh. - Foto Reuters

Maklumat salah mengenai Rohingya - Suu Kyi

YANGON: Kemarahan global berhubung layanan Myanmar ke atas Muslim Rohingya tercetus akibat 'kesilapan maklumat', kata pemimpinnya Aung San Suu Kyi hari ini.

Ia susulan gesaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya kerajaannya menamatkan keganasan yang memaksa 146,000 etnik tertindas itu melarikan diri ke Bangladesh.

Pelarian Rohingya kini membanjiri sempadan dengan Bangladesh, melarikan diri daripada operasi keselamatan besar-besaran di negeri Rakhine oleh tentera Myanmar susulan siri serbuan maut pemberontak etnik itu 25 Ogos lalu.

Kerajaan Suu Kyi berdepan peningkatan kecaman antarabangsa berhubung tindak balas tentera dengan pelarian membawa bersama kisah pembunuhan, rogol dan perkampungan mereka dibakar.

Namun dalam komen umum pertama sejak serbuan bulan lalu, Suu Kyi berkata, simpati buat Rohingya dijana oleh 'salah maklumat yang sangat besar'.

Ulasan itu dibuat dalam kenyataan dikeluarkan pejabatnya susulan panggilan dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan yang sangat amat kritikal dengan layanan Myanmar ke atas Rohingya, menggelarnya satu 'penghapusan etnik.'

Namun Suu Kyi mempertahankan tindakan kerajaannya, mengatakan pentadbirannya 'mempertahankan semua rakyat' di Rakhine.

Kenyataan itu mengetengahkan tweet yang sudah dipadam minggu lalu oleh Timbalan Perdana Menteri Turki, Mehmet Simset, menunjukkan beberapa gambar mengerikan mayat didakwanya etnik Rohingya yang dibunuh. - AFP

26621 dibaca
Berita Harian X