Khamis, 24 Ogos 2017 | 11:20pm
TENTERA Laut Amerika Syarikat mengumumkan misi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan anak kapal USS John S McCain yang hilang ditangguhkan. - Foto AFP

SAR anak kapal USS John S McCain ditangguhkan

SINGAPURA: Tentera Laut Amerika Syarikat hari ini, mengumumkan bahawa misi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan anak kapal USS John S McCain yang hilang di perairan Singapura selepas berlanggar dengan kapal tangki di sini, Isnin lalu, ditangguhkan.

Sebaliknya, armada ketujuh tentera laut Amerika Syarikat dalam satu kenyataan, berkata misi mencari dan menyelamat akan ditumpukan di dalam kapal perang berkenaan.

"Selepas lebih 80 jam misi mencari dijalankan oleh beberapa pihak daripada pelbagai negara, Tentera Laut Amerika Syarikat memutuskan untuk menangguhkan usaha mencari dan menyelamat anak kapal USS John S McCain di kawasan laut," katanya.

Setakat ini, hanya satu mayat anak kapal, yang disahkan sebagai Kenneth Aaron Smith ditemui, manakala sembilan yang lain masih hilang.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Singapura turut mengesahkan bahawa misi mencari membabitkan kapal, pesawat dan penyelam dari Singapura, Amerika Syarikat, Malaysia, Indonesia dan Australia itu, ditangguhkan. - AFP

447 dibaca
Berita Harian X