Jumaat, 12 Oktober 2018 | 10:00pm
PRESIDEN Sosialis Venezuela, Nicolas Maduro. - Foto Reuters

Pentadbiran Trump cuba bunuh Maduro

CARACAS: Presiden Sosialis Venezuela, Nicolas Maduro semalam menuduh pentadbiran Donald Trump cuba membunuhnya, ketika hubungan dua negara berbeza ideologi itu semakin meruncing.

Rumah Putih bagaimanapun gagal dihubungi untuk mengulas lanjut kenyataan itu.

Pembangkang Venezuela berkata, Maduro sengaja melemparkan tuduhan tidak masuk akal terhadap musuhnya untuk menutup kekurangan diri sendiri.

Hampir 2 juta rakyat Venezuela melarikan diri dari negara bermasalah yang kaya dengan minyak itu sejak 2015, akibat yang kekurangan makanan dan ubat, hiperinflasi dan jenayah.

Washington mengenakan sekatan ke atas Venezuela, mengecam Maduro sebagai diktator yang melanggar hak asasi manusia dan mencetuskan krisis ekonomi.

Rabu lalu, Rumah Putih menuduh kerajaan Maduro terbabit dengan kematian seorang ahli politik Venezuela yang dipenjarakan. Pihak berkuasa mengesahkan mangsa membunuh diri tetapi pihak pembangkang mendakwa dia dibunuh.

Maduro dalam ucapannya di sebuah stesen penyiar Khamis lalu, berkata Amerika Syarikat (AS) meminta pemerintah negara jiran Colombia untuk membunuhnya.

“Mereka memberi arahan dari Rumah Putih supaya Maduro dibunuh. Saya berikrar bahawa mereka tidak akan dapat menyentuh walau sehelai rambut saya.”

Maduro bagaimanapun tidak memberikan sebarang penjelasan mahupun bukti berhubung dakwaannya itu.

Maduro mendakwa beliau menjadi mangsa ‘perang ekonomi’ yang dipimpin oleh musuh-musuh yang disokong AS.

Beliau menafikan menyekat kebebasan berpolitik, sambil menegaskan bahawa pemimpin pembangkang yang menyokong Washington merancang cubaan membunuhnya dan cuba menggulingkannya melalui protes jalanan yang ganas. - Reuters

345 dibaca
Berita Harian X