Jumaat, 12 Oktober 2018 | 9:10pm
SEORANG lelaki melalui di rumahnya yang musnah selepas dibadai Taufan Michael, di Panama City, Florida. - Foto AFP
KEADAAN bot-bot yang tersadai di selepas dilanda Taufan Michael, di Panama City, Florida. - Foto AFP
SEORANG penduduk berjalan di tingkat dua rumahnya selepas dibadai Taufan Michael, di Panama City, Florida. - Foto AFP
TAUFAN Michael dengan angin paling kencang mencecah 250 kilometer sejam. - Foto AFP

Korban Taufan Michael kini 12 orang

PORT ST. JOE: Menggunakan jentera berat untuk mengalihkan serpihan runtuhan sementara helikopter terus berlegar-legar di udara ketika penyelamat bergelut mencari penduduk yang masih terperangkap, pihak berkuasa khuatir angka korban akibat Taufan Michael akan terus meningkat.

Sekurang-kurangnya 12 orang terkorban di Florida, Georgia, Carolina Utara dan Virginia selepas satu daripada taufan paling ganas dalam sejarah Amerika Syarikat, membadai pantai barat laut Florida.

“Saya menjangkakan jumlah kematian akan meningkat hari ini dan esok,” kata ketua Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA), Brock Long kepada CNN.

Michael mendarat Rabu lalu berhampiran bandar Panhandle di Mexico Beach dengan angin paling kencang mencecah 250 kilometer sejam, mengakibatkan ombak besar dan banjir.

Long menyeru komuniti seperti di Mexico Beach, lokasi paling teruk terjejas oleh taufan dan ombak setinggi 3.7 hingga 4.3 meter, untuk membina semula kediaman yang lebih kukuh sebagai persediaan di masa akan datang.

“Tidak mengapa jika anda mahu tinggal di tepi pantai atau di puncak gunung sekali pun, tetapi standard binaan itu perlulah lebih tinggi,” katanya.

Michael melemah sebaik menukar haluan ke tenggara Amerika Syarikat, tetapi masih membawa angin kencang dan hujan ke Georgia, wilayah Carolina dan Virginia, menyebabkan banjir.

Menjelang awal pagi ini, ia mula menuju ke Lautan Atlantik di timur laut Norfolk, Virginia, kata Pusat Taufan Nasional.

Hampir 1.1 juta rumah dan premis perniagaan dari Florida ke Virginia terputus bekalan elektrik awal hari ini, menurut syarikat utiliti. - Reuters

316 dibaca
Berita Harian X