Jumaat, 12 Oktober 2018 | 11:40am

Washington mansuh hukuman mati berat sebelah bersifat perkauman

WASHINGTON: Mahkamah Agung di negeri barat daya Amerika Syarikat (AS) di sini semalam memansuhkan pelaksanaan hukuman mati berat sebelah ‘bersifat perkauman’ dan segera menukarnya kepada penjara seumur hidup.

Negeri ini di mana tiada hukuman mati dilaksanakan sejak 2010, menjadi negeri ke-20 memansuhkan pelaksanaannya.

Hukuman mati itu tidak mengikut perlembagaan, namun ‘tidak sah kerana ia dilaksanakan secara sewenang-wenangnya dan bersifat perkauman’, kata mahkamah atasan negeri itu merumuskan sebulat suara.

Hukuman mati dilaksanakan ‘secara tidak saksama, kadang kala dari mana kejadian jenayah berlaku atau negara asal atau sumber kewangan sedia ada pada satu-satu ketika atau bangsa defendan.’

Mahkamah berkata, seperti yang terpakai di negeri ini, hukuman mati gagal menyampaikan sebarang matlamat penologi (kajian hukuman jenayah dan pengurusan penjara).

Mahkamah tertinggi negeri itu mengeluarkan keputusan berkenaan ketika menguruskan kes Allen Eugene Gregory, yang dijatuhi hukuman mati kerana merogol dan membunuh seorang wanita pada 1996.

Dalam rayuannya, Gregory memasukkan satu kajian yang menunjukkan hukuman mati dilaksanakan secara berbeza antara mahkamah di negeri ini dan kemungkinan dijatuhi hukuman mati adalah 4.5 kali ganda lebih tinggi untuk bangsa Afrika-Amerika berbanding kulit putih.

Menurut Pusat Maklumat Hukuman Mati, keputusan itu secara langsung memberi kesan kepada lapan banduan akhir di negeri itu.

Dalam keputusan mereka, hakim mengakui Mahkamah Agung sudah mengisytiharkan hukuman mati tidak mengikut perlembagaan sebanyak tiga kali sebelum ini, pada 1971, 1979 dan 1981, namun setiap kali undang-undang baharu diguna pakai. -AFP

246 dibaca
Berita Harian X