Khamis, 11 Oktober 2018 | 8:27pm
PERPUSTAKAAN dan Muzium Presiden Ronald Reagan memperkenalkan imej hologram bekas Presiden Amerika Syarikat itu. - Foto AFP

Imej hologram tarikan terbaru muzium Ronald Reagan

LEMBAH SIMI: Perpustakaan dan Muzium Presiden Ronald Reagan semalam, memperkenalkan imej hologram bekas Presiden Amerika Syarikat itu, yang menampilkan suara, ekspresi muka dan pergerakannya, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung untuk ‘bertemu’ dengan mendiang.

Projek bagi ‘menghidupkan kembali’ presiden menerusi teknologi dunia maya itu dilaporkan membabitkan kos jutaan dolar dan mengambil masa empat tahun untuk disiapkan.

“Ia sesuatu yang amat menakjubkan. Ia memang menakjubkan. Ia memang pelik untuk berkata sesuatu yang jujur,” kata bekas kakitangan Rumah Putih, Joanne Drake, yang pernah berkhidmat sebagai pembantu dan jurucakap Reagan pada 1980-an.

Imej hologram itu menampilkan mendiang Reagan dalam tiga situasi, iaitu ketika berucap pada siri jelajah kempen di belakang sebuah kereta api pada 1984, memakai pakaian menunggang kuda di ladangnya di California bersama isterinya, Nancy dan sewaktu beliau berada di Pejabat Oval.

“Ia seperti anda berada di lokasi itu bersama dengannya (Reagan),” kata Pengarah Eksekutif Institut dan Yayasan Presiden Ronald Reagan, John Heubusch.

Sementara itu, teknologi terkini digunakan untuk menghasilkan imej tiga dimensi Reagan, berdasarkan bentuk badan seorang lelaki yang menyerupai bekas presiden itu.

Malah, penghasilan pergerakan hologram Reagan itu adalah mengikut penerangan pelbagai pihak yang rapat dengan mendiang, sekali gus menghasilkan simulasi badannya.

Namun, hologram itu menggunakan suara asal Reagan, yang diperoleh menerusi ucapan dan temu bual, sebelum dicantum serta disesuaikan untuk setiap kejadian. - AFP

105 dibaca
Berita Harian X