;
Jumaat, 18 Mei 2018 | 2:03am
EMPANGAN hidroelektrik di sungai Cauca. - Foto AFP

5,000 berpindah bimbang empangan pecah

BOGOTA: Colombia mengarahkan hampir 5,000 penduduk di sepanjang sungai Cauca di utara negara itu berpindah, selepas masalah pembinaan di sebuah empangan hidroelektrik mencetuskan kebimbangan banjir besar.

Hujan lebat meningkatkan paras air di Cauca yang memenuhi simpanan air Empangan Ituango di wilayah Antioquia iaitu projek empangan hidroelektrik terbesar negara itu.

Masalah kaedah pemasangan simen dan terowong di empangan itu menyebabkan pihak berkuasa empangan dalam keadaan amat berjaga-jaga.

"Kami sedang bekerjasama dengan semua agensi untuk situasi terburuk, iaitu jika empangan ini pecah. Ia dijangka menyebabkan banjir besar di beberapa kawasan sungai di kawasan rendah.

"Ia situasi yang membawa bencana," kata ketua syarikat utiliti Empresas Publicas de Medellin yang memiliki empangan itu.

Empangan itu masih belum menjana tenaga elektrik dan pembinaannya memakan kos hampir AS$4 bilion (RM15.89 bilion) serta mempunyai menghasilkan 17 peratus bekalan elektrik keseluruhan Colombia.

Sejumlah 4,986 penduduk di kawasan sungai lebih rendah dipindahkan dari zon cenderung banjir, menurut kenyataan agensi bencana negara itu. - Reuters

1124 dibaca
Berita Harian X