Rabu, 14 March 2018 | 11:44am
BINTANG pop, Madonna. - Foto AFP

Filem baharu arahan Madonna papar kisah penari balet

NEW YORK: Bintang pop, Madonna mengumumkan bahawa beliau akan mengarah sebuah filem biopik mengenai kisah hidup Michaela DePrince, iaitu mangsa perang dari Sierra Leone, yang terpaksa menempuh pelbagai dugaan sebelum menjadi seorang penari balet terkenal.

Filem bertajuk 'Taking Flight' itu diadaptasikan daripada buku autobiografi DePrince yang diterbitkan pada 2014 dan ia adalah karya ketiga arahan Madonna selepas 'Filth and Wisdom' (2008) dan 'W.E.' (2011).

DePrince, 23, dibesarkan di rumah anak yatim selepas ditinggalkan bapa saudaranya ketika perang saudara melanda Afrika Barat, namun beliau dipulaukan kerana mengalami masalah kulit, iaitu vitiligo atau sopak.

Bagaimanapun, kehidupannya berubah selepas diambil sebagai anak angkat oleh warga Amerika Syarikat.

Beliau kemudiannya berjaya menjadi penari balet terkenal bukan sahaja di Amerika Syarikat, tetapi juga di Afrika Selatan dan Belanda.

Ketika ini, DePrince adalah penari balet solo dengan Balet Kebangsaan Belanda.

"Perjalanan hidup Michaela memberi kesan mendalam terhadap diri saya sebagai seorang artis dan aktivis yang amat menghargai kepelbagaian.

"Kami mempunyai peluang untuk mengetengahkan keunikan Sierra Leone dan Michaela akan menjadi 'suara' kepada semua anak yatim yang membesar bersamanya.

"Saya amat terharu kerana diberi peluang untuk 'membawa' kisahnya kepada dunia," kata Madonna dalam satu kenyataan. - AFP

215 dibaca
Berita Harian X