Rabu, 14 March 2018 | 11:08am
DUTA AS ke PBB, Nikki Haley. - Foto Reuters

AS sedia serang Syria halang serangan kimia

NEW YORK: Pendekatan dua hala Amerika Syarikat untuk bertindak ke atas Syria di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) boleh menyebabkan Russia menggunakan kuasa veto sekali lagi, langkah yang dilihat diplomat sebagai kemungkinan mencetuskan serangan AS terhadap Syria.

Russia menggunakan kuasa veto 11 kali untuk menghalang tindakan terhadap sekutunya itu, melindungi kerajaan Presiden Bashar al-Assad daripada sekatan, siasatan jenayah perang dan siasatan mengenai serangan senjata kimia.

Spekulasi mengenai penggunaan kuasa veto kali ke-12 oleh Russia memuncak sekali lagi selepas AS, kelmarin membentangkan deraf resolusi mengenai gencatan senjata 30 hari di Timur Ghouta dan Damsyik.

Langkah itu sebagai reaksi kepada kegagalan gencatan senjata yang diluluskan PBB untuk dilaksanakan di sebalik sokongan Russia, yang membantu serangan Syria di Timur Ghouta.

Operasi dilaporkan membunuh lebih 1,100 penduduk awam sejak dilancarkan pertengahan Februari lalu.

Langkah dirangka AS berasingan untuk menubuhkan panel siasatan mengenai serangan senjata kimia sedang dalam perbincangan, tetapi diplomat berkata rundingan dengan Russia menemui jalan buntu.

Dengan dua tindakan dibentang, Duta AS ke PBB, Nikki Haley, memberi amaran AS sedia bertindak di Syria jika perlu bagi menangani penggunaan senjata kimia dan kesengsaraan yang tidak berperikemanusiaan.

"Apabila komuniti antarabangsa secara konsisten gagal bertindak, ada ketika negara lain terpaksa mengambil tindakan sendiri.

"Kami juga memberi amaran kepada mana-mana negara yang mahu melaksanakan kehendak dengan serangan kimia dan kesengsaraan tidak berperikemanusiaan, terutama rejim haram Syria: AS sedia bertindak jika perlu berbuat demikian," Haley kelmarin. - AFP

968 dibaca
Berita Harian X