;
Selasa, 13 Februari 2018 | 8:22am
LOKASI Vanessa Trump membuka sepucuk surat yang mengandungi serbuk putih. - Foto Reuters

Menantu Trump dirawat akibat serbuk putih

NEW YORK: Isteri Donald Trump Jr, Vanessa Trump dan dua yang lain dibawa ke hospital semalam, selepas beliau membuka sepucuk surat yang mengandungi serbuk putih.

Namun, pihak berkuasa New York, kemudiannya mengesahkan bahawa serbuk yang tidak dikenali itu tidak membahayakan.

"Bahan itu tiba menerusi pos dan ia dialamatkan kepada Donald Trump Jr," kata jurucakap Jabatan Polis New York, Carlos Nieves.

Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata, Vanessa dimasukkan ke hospital selepas beliau mengadu berasa loya selepas terdedah kepada serbuk itu.

"Tiga pesakit dibawa ke Pusat Perubatan NewYork-Presbyterian/Weill Cornell bagi menerima rawatan lanjut," kata jurucakap Jabatan Bomba, Sophia Kim.

Menurut Nieves, ia termasuk, ibu Vanessa Trump, walaupun beliau tidak mengadu mengalami sebarang gejala seperti mual.

Sejak 2001, insiden antraks yang dihantar menerusi pos kepada pengamal undang-undang dan syarikat media hingga menyebabkan lima kematian, memaksa pihak berkuasa Amerika Syarikat meningkatkan tahap berjaga-jaga bagi mengelak ia daripada berulang.

Sementara itu, Donald Trump Jr, iaitu anak sulung Presiden Donald Trump mula menjadi perhatian orang ramai sejak 2016 susulan pendedahan pertemuannya dengan peguam Russia dan pihak lain ketika kempen pilihan raya presiden AS.

Beliau dilaporkan menawarkan maklumat yang boleh menjejaskan calon pesaing bapanya, Hillary Clinton dari Parti Demokrat. - Reuters

912 dibaca
Berita Harian X