Ahad, 11 Februari 2018 | 2:08pm
VETERINER memeriksa monyet yang dijangkiti demam kuning di Brazil. - Foto AFP

Penduduk panik bunuh monyet di Brazil

RIO DE JANEIRO: Kebimbangan jangkitan demam kuning (bukan jaundis) menyebabkan banyak monyet dibunuh secara haram di ibu negara Brazil dan ia menyukarkan usaha menangani virus itu, kata pihak berkuasa.

Penduduk tempatan tersilap kerana mempercayai haiwan itu mungkin menyebarkan virus demam kuning kepada manusia dan ia menjadi sebab pembunuhannya.

Tahun ini sahaja, 238 ekor monyet ditemui mati di negeri Rio berbanding 602 ekor sepanjang 2017, kata perkhidmatan pembersihan bandar itu ketika melancarkan kempen menentang pembunuhan terbabit.

Daripada jumlah bangkai monyet itu, 69 daripadanya menunjukkan tanda akibat keganasan manusia. Kebanyakan daripada haiwan itu dibunuh dan ada yang diracun.

Tahun lalu, jumlah monyet mati akibat dibunuh manusia adalah 40 peratus sementara bakinya mati akibat sebab semula jadi.

Jangkitan demam kuning melonjak di beberapa bahagian di Brazil, ia menyebabkan 25 kematian di Rio sahaja pada awal tahun ini. Kerajaan sudah melancarkan program vaksinasi besar-besaran, namun tidak mempunyai vaksin yang cukup untuk semua.

Bangkai monyet yang diambil untuk makmal bedah siasat di Pusat Veterinar Rio dengan penyelarasnya, Fabiana Lucena berkata, penduduk panik melakukan kesilapan besar dengan menyerang haiwan itu.

"Orang ramai perlu faham bahawa virus demam kuning disebarkan oleh nyamuk. Monyet adalah mangsa dan jika tiada lagi monyet di kawasan pedalaman, nyamuk akan menyerang manusia.

"Monyet bertindak sebagai pelindung, ia menunjukkan ke mana hala tuju virus ini. Untuk kempen vaksinasi lebih baik, kita perlu mengenalpasti lokasi monyet mati akibat virus demam kuning.

"Apabila manusia membunuh mereka, tugas mengesan virus ini lebih sukar," katanya. - AFP

572 dibaca
Berita Harian X