;
Sabtu, 10 Februari 2018 | 9:04am

UNRWA berdepan krisis kewangan

NEW YORK: Agensi bantuan dan pekerjaan pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) berdepan krisis kewangan selepas dana bantuan dipotong bulan lalu.

Jurucakap UNRWA, Peter Mulrean berkata, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan Januari lalu, hanya AS$60 juta (RM237 juta) setahun bantuan diberikan berbanding AS$350 juta (RM1.39 bilion) sebelum ini.

Mulrean berkata, setakat ini Kuwait satu-satunya negara menyumbang AS$900,000 (RM3.5 juta) dan 15 lagi negara penderma termasuk Sweden dan Jepun memutuskan untuk mempercepatkan bantuan bagi melancarkan operasi UNRWA.

Amerika Syarikat adalah penderma tunggal terbesar kepada UNRWA yang menyediakan sekolah dan klinik kesihatan kepada 5.3 juta pelarian di wilayah Palestin, Jordan, Lubnan dan Syria.

Duta Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley bulan lalu berkata, AS tidak akan menghulurkan dana kepada rakyat Palestin sehingga negara itu bersetuju untuk kembali ke meja rundingan dan berdamai dengan Israel.

"AS masih belum menjelaskan kepada kami kewajaran di sebalik dana AS$60 juta (RM237 juta) dan Washington tidak menampakkan kepentingan untuk melakukan perubahan," kata Mulrean.

Ketika temuramah bersama Voice of America, Haley berkata UNRWA perlu diubah kerana mereka menganggap mana-mana rakyat Palestin adalah pelarian dan kaedah pengajaran di sekolah itu tidak semestinya kaedah terbaik untuk dilaksanakan.

Pada masa sama UNRWA sudah berulang kali dituduh menyebarkan sentimen anti-Israel di sekolah, tuduhan yang disangkal keras agensi itu.

Pengarah UNRWA Tebing Barat, Scott Anderson berkata, semua perkhidmatan agensi masih berjalan seperti biasa ketika ini tetapi keputusan AS membuatkan ramai rakyat Palestin bimbang.

"Mereka bimbang dan risau terhadap keluarga dan masa depan mereka," katanya. - AFP

332 dibaca
Berita Harian X