Sabtu, 13 Januari 2018 | 11:52am
Penerbangan tempatan Costa Rica, Nature Air (NA).

Costa Rica gantung operasi syarikat penerbangan

SAN JOSE: Agensi penerbangan awam Costa Rica hari ini, menggantung operasi syarikat penerbangan tempatan Nature Air (NA), selepas dua minggu salah sebuah pesawat kecilnya terhempas berhampiran pantai pelancongan.

Kejadian berlaku di Pantai Punta Islita itu menyebabkan dua juruterbang tempatan dan 10 warga Amerika Syarikat (AS) terbunuh.

Pengarah agensi penerbangan awam, Ennio Cubillo memaklumkan NA menerusi satu surat.

Langkah penggantungan operasi 'tidak dapat dielakkan' kerana syarikat berkenaan kehilangan ramai kakitangan penting.

"Ia tiada kaitan secara langsung dengan kemalangan berkenaan," kata satu sumber yang enggan dikenali.

Pengarah latihan penerbangan NA maut dalam tragedi menjelang tahun baharu lalu yang berlaku berhampiran bandar pantai Punta Islita kira-kira 230 kilometer di barat ibu kota, San Jose. Turut terbunuh, pembantu juruterbang dan lima sekeluarga dari New York.

Pengurus operasi NA dipecat minggu ini manakala pengarah keselamatan udaranya memohon cuti.

"Buat masa ini, NA tidak mempunyai struktur pengurusan berkaliber yang boleh menjamin keselamatan operasi udara," maklum Cubilo di dalam suratnya.

Sementara, analisa siasatan mengemukakan faktor cuaca buruk, kemungkinan kegagalan mekanikal dan kesilapan manusia menjadi punca pesawat Cessna 208B Grand Caravan berkenaan terhempas sejurus berlepas - Reuters

348 dibaca
Berita Harian X