Khamis, 12 Oktober 2017 | 1:34pm
SEORANG ahli bomba melihat api yang marak menghampiri kawasan kediaman di Sonoma di California - Foto AFP

Kebakaran hutan California ragut 23 nyawa

SONOMA: Sekurang-kurangnya 23 orang maut akibat kebakaran hutan di sini, ketika pasukan bomba berdepan kesukaran untuk membendung kebakaran hutan yang diburukkan lagi dengan tiupan angin kencang.

Ratusan penduduk turut dilaporkan hilang selepas tercetus situasi kelam-kabut ketika proses pemindahan dengan kira-kira 3,500 bangunan musnah.

Kira-kira 20 kebakaran di lapan daerah memusnahkan kawasan seluas kira-kira 68,797 hektar. Kebakaran bermula malam Ahad lalu selepas angin kencang menumbangkan pencawang elektrik di seluruh wilayah itu dan berkemungkinan adalah punca kebakaran hutan paling teruk dalam sejarah California.

Difahamkan, api merebak pantas selepas angin kering dan panas mirip angin Santa Ana di selatan California bertiup ke kawasan utara California ke arah Pasifik, malam Ahad lalu.

Punca kebakaran belum disahkan secara rasmi. Namun, beberapa wayar elektrik yang rosak akibat angin itu mungkin menjadi penyebab kebakaran, kata jurucakap Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California.

"Rangkaian pencawang elektrik sering menjadi punca kebakaran ketika musim angin kuat," katanya. - Reuters

231 dibaca
Berita Harian X