Rabu, 11 Oktober 2017 | 9:26pm
SEKURANG-KURANGNYA 17 orang terbunuh manakala 2,000 rumah dan premis perniagaan musnah dalam kebakaran hutan di California Utara yang bermula malam Ahad lalu.- Foto EPA

Cuaca kering, California berdepan potensi kebakaran baharu

SANTA ROSA: Anggota bomba yang bergelut memadam kebakaran hutan di negeri terkenal pengeluaran wain di California berdepan prospek baharu apabila cuaca kering dan berangin kembali hari ini.

Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh manakala 2,000 rumah dan premis perniagaan musnah dalam kebakaran hutan di California Utara yang bermula malam Ahad lalu.

Pihak berkuasa bomba berkata, angin dengan kelajuan sehingga 80 kilometer sejam dan 10 peratus kelembapan diramalkan hari ini dan esok untuk rantau di mana 17 insiden kebakaran memaksa 20,000 penduduk berpindah.

"Potensi kebakaran baharu merebak tidak mustahil seperti mana kebakaran dalam tempoh singkat di sini," kata jurucakap Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California, Lynn Tolmachoff.

Faktor cuaca membantu bomba memperlahankan kebakaran semalam ketika suhu rendah, angin perlahan dan kabus pantai membolehkan mereka memadam kebakaran seluas 46,539 hektar.

Tolmachoff berkata, beberapa pemindahan di Nevada dan Yuba di barat California ditarik balik semalam sementara di timur Sonoma dan Napa, di mana lebih 20,234 hektar hutan terbakar, dilanjutkan.

Kira-kira 155 orang masih hilang di Sonoma walaupun 45 lain ditemui dengan sesetengah tidak dikira berikutan kekeliruan berkaitan pemindahan. -Reuters

724 dibaca
Berita Harian X