Rabu, 11 Oktober 2017 | 10:00am
Asap tebal menyelubungi udara akibat kebakaran besar kelihatan dari bukit di kawasan kejiranan Oakmont di Santa Rosa, California. - Foto AFP

Kebakaran ragut 15 nyawa

SANTA ROSA (CALIFORNIA) : Sekurang-kurangnya 15 orang disahkan maut dalam kebakaran besar di California Utara manakala hampir 150 orang lagi dilaporkan hilang setakat tengah hari ini waktu tempatan.

Pejabat Sherif Daerah Sonoma berkata, bencana itu turut memusnahkan 1,500 kediaman, pusat pembuatan wain dan beberapa infrastruktur lain.

Api dari keseluruhan 17 kebakaran itu sehingga kini merebak sejauh 46,500 hektar sejak ia bermula Ahad lalu dan diburukkan oleh cuaca panas, kering dan tiupan angin kencang.

Menurut Pejabat Sherif Daerah Sonoma, sembilan daripada mangsa yang maut berasal dari kawasan berkenaan.


RUMAH penduduk yang musnahakibat kebakaran berhampiran Sekolah Tinggi Cardinal Newman di Santa Rosa, California. - Foto AFP

Di Napa, mangsa yang terbunuh termasuk pasangan suami isteri warga emas, Charles Rippey, 100, dan isterinya, Sarah Rippey, 98. Tiada maklumat lain diperoleh setakat ini.

Di utara San Francisco, beberapa kawasan kejiranan turut musnah khususnya di kawasan Santa Rosa yang dilaporkan paling teruk terjejas.

Kebakaran dikenali sebagai 'Tubbs Fire' itu memusnahkan sebuah hotel ternama, Hilton dan sebuah kawasan rehat untuk kediaman bergerak. - Reuters


Biskop Harper dan isteri Cristy meninjau rumah mereka yang dimusnahkan oleh kebakaran besar di Santa Rosa, California. - Foto AFP

382 dibaca
Berita Harian X