Rabu, 13 September 2017 | 9:50am

Mahkamah benarkan larangan kemasukan pelarian ke AS

WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) membenarkan Presiden Donald Trump melaksanakan dengan meluas larangan ke atas pelarian dari seluruh dunia memasuki negara itu.

Ia membenarkan permintaan pentadbiran Trump menghalang keputusan Mahkamah Rayuan Persekutuan, yang menurut Jabatan Kehakiman, meluluskan tambahan sehingga 24,000 pelarian memasuki AS berbanding yang layak.

Keputusan itu memberi kejayaan awal kepada Trump ketika mahkamah tinggi bersiap sedia mendengar kes bulan depan, berhubung arahan eksekutif kontroversi presiden itu yang melarang kunjungan rakyat enam negara majoriti Islam dan mengehadkan kemasukan pelarian.


Donald Trump

Arahan 6 Mac lalu menggantung perjalanan rakyat Iran, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman selama 90 hari serta menghalang kemasukan pelarian selama 120 hari.

Tindakan itu disifatkan Presiden Republikan berkenaan sebagai perlu untuk mencegah serangan pengganas dan membolehkan kerajaan melaksanakan prosedur penyelidikan lebih tegas.

Arahan berkuat kuasa lewat Jun, menyusul arahan Mahkamah Agung yang mengurangkan skop keputusan mahkamah lebih rendah.

Dalam keputusan minggu lalu, Mahkamah Rayuan Sivil kesembilan AS, berkata datuk dan nenek, ibu saudara, bapa saudara dan sepupu penduduk sah negara itu dikecualikan daripada larangan kunjungan.

Jabatan Kehakiman memilih untuk merayu bahagian berkenaan keputusan itu.

Bagaimanapun, ia turut memutuskan dasar pelarian Trump terlalu meluas dan mahkamah membenarkan kemasukan pelarian dari seluruh dunia jika mempunyai tawaran rasmi daripada agensi kependudukan. - Reuters

261 dibaca
Berita Harian X