Jumaat, 12 Oktober 2018 | 9:14pm
PENDUDUK melihat banjir yang meranapkan rumah, di Bududa, Uganda. - Foto Reuters

34 maut tanah runtuh di Uganda

KAMPALA: Sekurang-kurangnya 34 orang maut, selepas sebuah sungai di timur Uganda melimpah dengan lumpur dan batu ke arah rumah penduduk, kata pegawai bencana, hari ini.

Pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari mangsa terselamat daripada bencana yang berlaku pada Khamis lalu di pekan Bukalasi, daerah Bududa. Difahamkan, sejumlah mangsa tidak diketahui turut hilang.

“Saya boleh mengesahkan bahawa 34 orang maut. Kami menunggu penilaian selesai, sebelum menyatakan berapa ramai hilang,” kata jurucakap Palang Merah Uganda, Irene Nakasiita.

Kelmarin, beliau menunjukkan gambar lokasi tanah runtuh besar termasuk beberapa gambar mayat putus dalam lumpur di tepi sungai. Ada mayat ditutup dengan daun pisang oleh orang ramai.

“Bencana terjadi apabila tebing sungai di kawasan tinggi runtuh. Air yang mengalir ke tempat rendah membawa bersama batu besar sehingga memusnahkan rumah penduduk.

“Pasukan mencari dan menyelamat kami masih di lapangan memindahkan penduduk daripada kawasan runtuhan,” kata Nakasiita sambil menambah Palang Merah turut menghantar bantuan di lokasi. - AFP

85 dibaca
Berita Harian X