Sabtu, 6 Oktober 2018 | 8:03am

3 kes polio dilapor di Niger

NIAMEY: Kementerian Kesihatan Niger mengesahkan bahawa pihaknya berjaya mengesan tiga kes polio di selatan Niger, berhampiran sempadan Nigeria, beberapa bulan selepas operasi pemvaksinan besar-besaran oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Berikutan itu, katanya, sekumpulan pakar dari Niger, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sudah berada di lokasi berkenaan untuk menjalankan siasatan lanjut.

Polio adalah penyakit akibat jangkitan virus dan sering menyerang kanak-kanak serta boleh mengakibatkan lumpuh yang kekal.

Setakat ini, tiada ubat-ubatan yang mampu mengubatinya dan ia hanya boleh dicegah menerusi imunisasi.

Pada April lalu, lebih lima juta kanak-kanak di seluruh Niger terbabit dalam program pemvaksinan oleh PBB bagi mencegah penyakit itu.

Yang turut terbabit dalam program itu ialah hampir 42,000 kanak-kanak yang berada di kem pelarian di kawasan sekitar Tasik Chad, yang terletak berhampiran sempadan Nigeria, Chad dan Cameroon.

Menurut pihak berkuasa, sebahagian besar kes polio dipercayai dibawa masuk menerusi Nigeria, apabila kebanyakan rakyatnya meninggalkan negara itu dari serangan Boko Haram. - AFP

62 dibaca
Berita Harian X