Jumaat, 5 Oktober 2018 | 12:32am
KERAJAAN Zimbabwe sudah memulakan kempen vaksin di kawasan pedalaman yang dilanda wabak taun yang serius. - Foto Reuters

1.4 juta penduduk Zimbabwe disuntik vaksin taun

HARARE: Kerajaan Zimbabwe sudah memulakan kempen vaksin di kawasan pedalaman yang dilanda wabak taun yang serius, hingga mengakibatkan 49 maut, manakala ratusan lagi penduduk disahkan dijangkiti bakteria penyakit itu.

Bulan lalu, negara yang mempunyai 13 juta penduduk itu merayu sumbangan dana sebanyak AS$35 juta (RM144.8 juta) bagi membeli vaksin dan ubat-ubatan, selain memperbaiki sistem bekalan air serta pembentungan.

Buat permulaan, 1.4 juta penduduk akan menerima suntikan vaksin, terutama di kawasan yang paling padat dengan penduduk.

Wabak taun, iaitu penyakit bawaan air itu berlaku akibat kegagalan menyelenggara infrastruktur bekalan air dengan baik.

Zimbabwe dilanda wabak taun terburuk pada 2008, apabila lebih 4,000 penduduknya maut, manakala 40,000 lagi disahkan dijangkiti penyakit berkenaan. - Reuters

106 dibaca
Berita Harian X