Khamis, 4 Oktober 2018 | 10:47pm

Sudan rampas puluhan ribu akhbar Al-Tayar, Al-Jareeda

KHARTOUM: Ejen keselamatan Sudan merampas keseluruhan cetakan dua akhbar tempatan, iaitu Al-Tayar dan Al-Jareeda, beberapa hari selepas Kesatuan Eropah (EU) dan Washington mendesak kebebasan media di negara itu.

Tindakan penyitaan oleh ejen Perkhidmatan Keselamatan dan Perisikan Kebangsaan (NISS) itu dibuat ketika kesemua pengarang kedua-dua akhbar itu menghadiri mesyuarat anjuran EU di Khartoum pada Selasa lalu.

“Mereka (NISS) merampas semua cetakan akhbar kami tanpa memberikan sebarang alasan.

“Mungkin kerana saya menghadiri mesyuarat anjuran EU dan ia menjadi punca tindakan itu,” kata pemilik dan ketua pengarang Al-Tayar, Osman Mirghani kepada AFP.

Pemilik Al-Jareeda, Awad Mohamed Awad turut mengesahkan bahawa ejen keselamatan merampas kira-kira 10,000 salinan akhbarnya, hari ini.

“Tiada alasan diberikan dan mereka sudah memanggil pengarang kami ke pejabat mereka (NISS),” kata Awad.

Pada mesyuarat anjuran EU, baru-baru ini, beberapa wartawan Sudan mendedahkan mengenai cabaran yang terpaksa mereka yang terbabit dalam industri media di negara itu, termasuk tindakan merampas akhbar oleh ejen keselamatan.

Susulan itu, satu kenyataan bersama dikeluarkan oleh beberapa duta EU dan kuasa usaha Amerika Syarikat ke Khartoum, Steven Koutsis, yang mendesak kebebasan akhbar di Sudan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Sudan membantah mesyuarat anjuran EU itu dan semalam, mereka memanggil duta EU ke Khartoum bagi menyatakan bantahan berkenaan.

“Cara penganjuran mesyuarat itu sudah jelas melanggar tindak tanduk diplomatik,” kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan. - AFP

136 dibaca
Berita Harian X