Selasa, 13 Februari 2018 | 12:58pm
JACOB Zuma. - Foto Reuters

Presiden Jacob Zuma dipecat

PRETORIA: Jawatankuasa eksekutif parti Kongres Nasional Afrika (ANC) Afrika Selatan memecat Presiden Jacob Zuma sebagai ketua negara, selepas mengadakan mesyuarat selama 13 jam.

Pemimpin kanan ANC mengambil keputusan itu susulan gesaan anggota parti selepas Zuma terbabit dengan pelbagai skandal.

Timbalan Presiden, Cyril Ramaphosa dipilih sebagai ketua ANC pada Disember lalu, sekali gus meningkatkan desakan supaya Zuma menamatkan penggal kedua pentadbirannya yang dijadualkan berakhir pada pertengahan 2019.

Zuma, 75, muncul sebagai Presiden Afrika Selatan paling kontroversi, sejak pemerintahan minoriti kulit putih berakhir pada 1994.

Era pemerintahannya menyaksikan kemelesetan ekonomi, selain berdepan dengan pelbagai tuduhan rasuah.

Jawatankuasa eksekutif ANC mempunyai kuasa untuk mengarahkan Zuma meletak jawatan sebagai ketua negara, namun wujud spekulasi dalam kalangan media tempatan bahawa beliau mungkin enggan berbuat demikian.

Ramaphosa, 65, dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Zuma lewat semalam, sebelum kembali menyertai mesyuarat yang menentukan nasib presiden itu.

"Kami mengambil keputusan untuk memecat Zuma. Beliau masih belum dimaklumkan mengenainya," kata sumber kanan ANC itu. - Reuters

1246 dibaca
Berita Harian X