Selasa, 6 Februari 2018 | 11:14pm

Sudan Selatan bantah campur tangan Washington

JUBA: Ratusan penunjuk perasaan berkumpul di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat dan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan Selatan hari ini, sambil melaungkan slogan membantah larangan penjualan senjata oleh Washington.

Pada Jumaat lalu, Amerika Syarikat mengumumkan larangan eksport senjata dan perkhidmatan pertahanan kepada Sudan Selatan, dalam usaha mendesak Presiden Salva Kiir menamatkan perang saudara yang sudah berlarutan selama empat tahun.

Sementara itu, seorang saksi berkata, penunjuk perasaan berjaya menyerahkan petisyen kepada PBB, namun kemudiannya keadaan bertukar ganas apabila mereka menumbuk dan melontarkan batu ke arah wartawan yang hadir.

Malah, seorang wartawan terpaksa mendapatkan bantuan perubatan akibat kecederaan yang dialami.

Sebelum ini, Washington sudah menyenaraihitam beberapa tokoh dari Sudan Selatan, termasuk bekas ketua tentera dan pegawai kerajaan, ahli perniagaan serta menteri penerangan kerana didakwa terbabit dengan konflik itu.

Konflik terbabit disifatkan sebagai penyumbang krisis pelarian terbesar di benua Afrika sejak pembunuhan beramai-ramai di Rwanda. - Reuters

221 dibaca
Berita Harian X