Ahad, 8 Oktober 2017 | 7:26am
GAMBAR fail, stesen minyak meletup di Accra, Ghana. - Foto AFP

Dua letupan di Accra cetus panik

ACCRA: Lori tangki yang mengangkut gas asli terbakar di ibu kota Ghana, mencetuskan dua letupan yang kedengaran di seluruh bandar raya itu, menyebabkan kebakaran yang memaksa penduduk melarikan diri.

Polis berkata, letupan berlaku di bulatan Persimpangan Atomic di kawasan Legon di timur laut Accra kira-kira jam 7.30 petang waktu tempatan.

"Saya berada di Legon dan mendengar bunyi dua letupan. Seluruh bangunan bergoyang," kata jurucakap Efia Tenge.

Jurucakap Perkhidmatan Bomba Kebangsaan Ghana, Billy Anaglate, berkata kebakaran itu menyebabkan letupan di stesen gas asli dan stesen minyak berhampiran.

"Masih terlalu awal untuk kami menyatakan punca kebakaran. Kami akan menyiasat. Beberapa kenderaan lain turut terbakar disebabkan letupan," katanya.

Wartawan AFP berkata, kawasan itu ditutup. Anggota bomba dan ambulans berada di lokasi kejadian.

Namun Anaglate berkata, beliau tiada maklumat mengenai kematian.

Pihak berkuasa Accra memberi amaran kepada orang ramai supaya mengelakkan kawasan itu, yang juga menempatkan kampus Universiti Ghana. - AFP

659 dibaca
Berita Harian X