Rabu, 27 September 2017 | 7:45am
Orang berkumpul di tapak serangan bom di Kano, Nigeria. - Foto AP

5 maut, serangan masjid di Nigeria

KANO: Sekurang-kurangnya lima terbunuh dan tiga lagi cedera apabila seorang pengebom nekad wanita meletupkan diri dalam sebuah masjid di utara Nigeria semalam, serangan terbaharu dikaitkan dengan militan Boko Haram.

Menurut militia tempatan, pengebom menyerbu masjid di bandar Dikwa, terletak 90 kilometer dari Maiduguri, sekitar jam 5 pagi dan meletupkan diri.

"Seorang pengebom wanita menyerang masjid ketika Subuh, mengorbankan lima jemaah," kata ketua militia tempatan, Ibrahim Liman.

Katanya, tiga jemaah lain turut cedera dalam serangan itu ya ng dipercayai didalangi Boko Haram.

Sementara itu, seorang anggota militia lain, Umar Ari berkata, tentera di bandar itu kemudian dapat memintas seorang lagi pengebom nekad wanita yang meletupkan diri sebaik ditahan untuk pemeriksaan.

Tiada siapa cedera dalam letupan kedua.

Kejadian menyebabkan pasar tempatan ditutup dan tentera dan militia melakukan pemeriksaan mencari dua lagi wanita yang dipercayai akan turut menjadi pengebom nekad. - AFP

320 dibaca
Berita Harian X