Isnin, 4 September 2017 | 12:54am

96 banduan melarikan diri dari penjara Ivory Coast

KATIOLA: Hampir 100 banduan melarikan diri dari penjara di Ivory Coast semalam.

Menurut sumber perundangan tempatan, banduan yang berjaya melarikan diri di bandar Katiola itu adalah pengikut mendiang pemimpin pemberontakan di penjara tahun lalu, Coulibaly Yacouba.

Yacouba, juga dikenali sebagai Yacou le Chinois (Yacou si Cina), maut pada Februari 2016 ketika cubaan melarikan diri di pusat tahanan utama Ivory Coast di Abidjan.

Sepuluh terbunuh dalam kejadian itu, termasuk seorang pengawal dan 21 lagi cedera.

Yacouba dipenjarakan sejak 2012 atas tuduhan membunuh dan mengetuai pemberontakan dengan senjata Kalashnikov di tangan dan satu lagi disilang di bahunya.

Sumber keselamatan memberitahu 96 banduan berjaya melarikan diri antara jam 5.00 pagi dan 6.00 pagi waktu tempatan.

"Mereka melarikan diri menerusi bumbung sel masing-masing untuk ke sel lain dan mengambil kesempatan pekerja meninggalkan kawasan itu untuk memecahkan pagar utama dan melarikan diri," kata sumber. - AFP

248 dibaca
Berita Harian X